SMU (A) RAHMANIAH, REPEK
Pelajaran agama yang diperkenalkan kepada penduduk-penduduk setempat khasnya dan amnya kepada penduduk-penduduk sekitar kampung Repek adalah dalam bentuk sistem pondok. Pada masa penjajah, sistem persekolahan lengkap yang berkaitan dengan keagamaan boleh dikatakan tiada langsung.
Dengan memikirkan pentingnya pelajaran agama kepada masyarakat setempat khasnya, Tuan Guru Haji Haron bin Haji Sulong membuka sebuah pondok yang agak terkenal di zaman penjajah dengan hanya terdapat beberapa orang murid sahaja.
Di samping hendak memenuhi kehendak masyarakat iaitu tempat belajar, sebuah madrasah dibina dengan beratapkan sagu dan buluh dengan hanya seorang tok guru.
Setelah tahun ke tahun berlalu, iaitu pada 1957, Tuan Guru Haji Haron dan beberapa orang guru agama tempatan ingin memperbesar dan memperluas sistem pelajaran ini lalu mereka membina sebuah bangunan buluh hasil daripada gotong-royong masyarakat tempatan. Pada masa itu iaitu tahun 1957 – 1962 hanya terdapat 4 orang guru dan 25 orang pelajar. Guru-gurunya ialah Mahyidin Che Mat, Haji Mohd Abdulllah, Abdul Rahman Saleh dan Haji Daud.
Selepas tahun 1962, bangunan baru dibina yang ada sekarang adalah hasil daripada derma dan gotong-royong manakala tenaga pengajar seramai 6 orang sahaja, pendapatan guru-guru hanya daripada zakat dan derma orang ramai.
Tidak lama selepas itu, sekolah-sekolah agama rakyat mendapat pengawasan daripada Majlis Agama Islam Kelantan dalam memberi tunjuk cara dalam pengurusan sekolah sehingga tahun 1974.
Mulai 1974, Jabatan Sekolah-Sekolah Agama Kelantan (JASA) membuat pengawasan terhadap seluruh sekolah agama rakyat di Kelantan.
Serentak dengan itu sesuai dengan namanya sebagai sekolah agama rakyat, maka kami sebagai guru dengan kerjasama masyarakat setempat telah berusaha dan berikhtiar dengan berbagai cara untuk membangunkan sekolah ini termasuklah derma orang ramai samaada dalam bentuk kewangan, tenaga di samping sumber lain. Bangunan sekolah dapat diperelok dan kami berjaya membina asrama bagi pelajar lelaki dan perempuan pada tahun 1980 – 1983.
Selepas itu, kami juga berjaya membina sebuah mini perpustakaan walaupun tidak lengkap. Jadi dari usaha dan gotong-royong penduduk setempat telah memudahkan dan memberi keselasaan terhadap pembelajaran murid-murid di sekolah ini.
Sekolah SMU (A) Rahmaniah maju setapak lagi dengan adanya sumbangan dari pelbagai pihak khususnya daripada pihak YIK dan JPN serta masyarakat setempat khasnya. Sumbangan ini diterima sekitar tahun 1990-an. Bangunan fasa 1 telah dibina untuk menggantikan bangunan lama dan mula digunakan pada awal tahun 1993. Selepas itu, disusuli pula dengan satu lagi peruntukan (bantuan modal) daripada pihak JPN untuk membuat bangunan tambahan dua tingkat. Bangunan tambahan fasa 2 telah digunakan pada Januari 1997. Pada tahun yang sama, kantin sekolah juga dibina melalui peruntukan daripada pihak YIK bagi memberi kemudahan kepada guru-guru dan para pelajar.
Dengan adanya ihsan dan sokongan daripada pihak YIK, JPN dan masyarakat setempat maka tersergamlah bangunan SMUAR sekarang dengan para guru dan pelajarnya yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Kini, sekolah ini sudah mempunyai serba sedikit ruang untuk menampung keperluan pelajar seperti bilik KHB, perpustakaan, pentas perhimpunan dan taman mini. Walau bagaimanapun ruang ini masih belum lagi mencukupi.
Alhamdulillaah.. Saya Bersyukur kerana saya merupakan salah seorang daripada pelajar awalan di sekolah ini
ReplyDelete